Mercu Tanda Kajang

Kajang adalah pekan lama yang sibuk, di mana banyak jalan raya bertembung. Kebanyakan bangunan zaman kolonial dibina sekitar tahun 1920-an hingga 1930-an. Banyak seni bina rumah kedai adalah gabungan reka bentuk tradisional Cina dan Eropah. Aras tanah kebanyakannya digunakan untuk kegiatan komersial dan tingkat atas sebagai penempatan suku keluarga atau lebih dikenali sebagai 'rumah kedai'.

Salah satu mercu tanda Kajang ialah Stadium Kajang yang terletak di tengah-tengah bandar. Stadium ini dapat menampung sehingga 5,000 orang pada satu-satu masa. Pernah juga digunakan untuk beberapa perlawanan bola sepak bertaraf kebangsaan dan masih digunakan sepanjang tahun untuk pertandingan sepak bola masyarakat. Perhentian kereta api MRT (Mass Rapid Transport) yang terletak di Bandar Kajang berada berhadapan pintu utama Stadium Kajang.

Masjid Jamek Kajang

Satu lagi mercu tanda ialah Masjid Jamek Kajang yang mudah dikenali dengan warna kuning yang terang. KK Hotel Kajang (65 bilik) terletak di antara Stesen Bandar Kajang dan Stesen Saujana Impian.

Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang (SMKTK) atau Sekolah Tinggi Kajang (STK) atau nama asal dan Inggerisnya, Kajang High School (KHS) adalah sekolah tertua di Kajang dan daerahnya, Hulu Langat. Diasaskan oleh 5 orang cendikia dan dermawan tempatan iaitu Raja Muhammad, Haji Jalil, Kindersley, Buck dan Low Ti Kok (nama-nama yang kemudiannya dijadikan nama rumah sukan) pada tahun 1919. Senibina bangunan utama sekolah ini banyak dipengaruhi oleh senibina kolonial Inggeris. Sehingga kini, sekolah ini masih lagi mendahului dalam pelbagai aspek di daerah Hulu Langat terutamanya di Kajang.